Puan Robiah Abu Amin - Cikgu Ruby ..
Permata berharga yang sukar dicari gantinya...!
NUKILAN DARIPADA
MARKUS LIM HAN KING
PELAJAR ST.JOHN’S INSTITUTION, 1993-1999
Sebut sahaja nama Cikgu Ruby, perkara pertama yang terlintas dalam fikiran kita semua ialah senyuman dan keperamahan beliau.Senyuman manis dan sikap peramah inilah yang menjadikan dirinya cukup popular dan istimewa berbanding individu-individu lain. Kerana itu jugalah, Puan Robiah begitu disenangi dalam kalangan pelajar sekolah dan rakan sekerjanya.
Pendekatan berhemah dan sikap keibuan beliau dalam mendidik anak-anak muridnya cukup terserlah. Tanya sahaja kepada mana-mana pelajar yang pernah dididik oleh puan robiah, rata-ratanya menyatakan kegembiraan mereka semasa dalam sesi pembelajaran.
Seronok dan “best….itu antara perkataan yang sering diucapkan oleh anak-anak didiknya ketika persoalan tersebut dilontarkan kepada mereka. Bagi mereka, sesi pembelajaran kendalian puan robiah tidak pernah sunyi daripada elemen humor dan nasihat. Puan robiah sentiasa berpegang teguh kepada pendekatan yang santai kerana itulah cara terbaik untuk menarik perhatian para pelajar untuk mengikuti sesi pembelajaran dalam kelas.
Kini, kebanyakan pelajar yang pernah dididik oleh puan robiah sepanjang 26 tahun termasuk penulis telah berjaya dalam hidup mereka. Masing-masing berjaya kerana berkat didikan puan robiah selama ini.
Kehadiran puan robiah dalam hidup penulis cukup signifikan. Beliaulah satu-satunya guru sekolah yang masih berkomunikasi dengan penulis hingga ke hari ini biarpun penulis sudah meninggalkan st.john’s institution lebih 15 tahun lalu.
Puan robiah jugalah yang sentiasa berada di sisi penulis ketika penulis mengharungi detik-detik sukar dalam hidup. Keprihatinan beliau terhadap kebajikan penulis sesungguhnya tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.
Tatkala penulis dilanda kesukaran, kehadiran beliau menceriakan suasana dan memberikan satu sense of comfort. Jelas, puan robiah bukan sekadar guru kepada diri penulis tetapi juga seorang ibu yang cukup penyayang.
Puan robiah bukanlah calang-calang guru biasa. Hakikatnya, banyak beza antara seorang guru yang baik dan guru yang cemerlang. Pada hemat penulis, puan robiah layak dikategorikan dalam kategori guru yang cemerlang. Beliau layak mendapat gelaran itu.
Apa tidaknya, dedikasi dan pengorbanan beliau kepada pelajar-pelajar yang cacat penglihatan di bilik resos menuntut kesungguhan yang lebih daripada seorang guru biasa. Mendidik dan mengasuh pelajar-pelajar yang cacat penglihatan adalah dua kali ganda lebih sukar daripada mendidik pelajar-pelajar biasa.Pengalaman berkhidmat sebagai guru di bilik resos telah mengajar puan robiah untuk lebih bersabar dengan pelajar-pelajar cacat penglihatan. Ia juga telah memberikan satu kekuatan kepada beliau untuk berhadapan dengan segala macam keadaan di sekolah.
Justeru, berita mengenai persaraan puan robiah abu amin selepas lebih tiga dekad menabur bakti dalam dunia pendidikan merupakan satu kerugian besar kepada st.john’s institution.Berakhirnya satu era gemilang kerana kini sudah sampai masanya obor perjuangan untuk mendidik anak-anak bangsa diteruskan oleh tenaga pendidik masa kini.
Adalah menjadi harapan penulis agar tenaga-tenaga pengajar baharu di sji kini mencontohi profesionalisme serta dedikasi puan robiah dalam mendidik anak-anak murid. Meskipun puan robiah sudah meninggalkan sji, namun segala sumbangan serta keringat beliau kepada sekolah tercinta ini akan tetap dikenang hingga ke akhir hayat. Terima kasih kepada puan robiah kerana telah banyak berjasa bukan sahaja kepada sji bahkan juga kepada semua pelajar sekolah yang pernah dididiknya.
Daripada diri penulis pula, puan robiah..anda telah meletakkan penanda aras yang cukup tinggi untuk dicontohi oleh guru-guru sekolah lain. Anda telah membuktikan bahawa anda adalah seorang tenaga pendidik yang sejati!
Biarpun berjauhan daripada kami semua, namun anda tetap dekat di hati.
Selamat bersara puan robiah dan yang pasti, kami semua akan merindui senyuman manis anda.
NUKILAN DARIPADA
MARKUS LIM HAN KING
PELAJAR ST.JOHN’S INSTITUTION, 1993-1999
No comments:
Post a Comment