Setiap yang bermula, pasti akan berakhir.
Sememangnya itulah yang akan dilalui oleh setiap daripada kita dalam kehidupan seharian. Ini adalah satu hakikat yang tidak mungkin dapat dielakkan. Manusia datang dan pergi, begitu jugalah dengan guru-guru sekolah yang terpaksa mengikut arahan dan berkhidmat di tempat lain.
Apabila berita mengenai pemergian dua guru sekolah St. John's Institution iaitu Puan Najibah dan Dr. Puva ke sekolah lain tersebar luas dalam blog, tertanya-tanya dalam fikiran saya apakah masa depan sekolah tersohor ini? Mampukah nama SJI terus dijulang, berkembang dan menjadi jenama yang dikenali ramai walaupun selepas ketiadaan guru-guru lama sebegini?
Kita sudah pun kehilangan ramai tiang seri SJI iaitu Brother Lawrence Spitzig dan Bro Cassian Pappu pada 2009 kerana usia lanjut manakala guru-guru seperti Puan Cheng Kok Chin, Encik David Fernandez, Vincent Fernandez, Encik Tee Kok Bin, Puan Rosnah Kahar, Puan Mariam Yaacob dan ramai lagi telah pun bersuara. Sesungguhnya ketiadaan mereka di sekolah sudah pasti meninggalkan satu vakum yang sukar untuk diisi semula. Ketiadaan mereka seolah-olah menjadikan SJI sebagai sebuah sekolah yang nampak ordinary sahaja.
Tetapi itulah cabaran yang perlu digalas oleh generasi guru-guru sekolah di SJI sekarang. Cabaran untuk meneruskan tradisi, cabaran untuk mengekalkan semangat Johannian yang sering kali diuar-uarkan oleh Tuan Pengetua sekolah. Generasi guru-guru sekolah di SJI haruslah mengambil iktibar daripada generasi guru SJI terdahulu bagaimana untuk berkhidmat dan memberikan yang terbaik kepada pelajar. Sebagai seorang pendidik, tugas mereka bukan sekadar berkisar kepada tugasan hakiki iaitu untuk mengajar pelajar-pelajar tetapi adalah lebih penting untuk merasai dan menjiwai tanggungjawab yang diamanahkan.
Kita tidak dapat lari bahawa no one is indispensable dalam dunia hakiki ini. Pepatah Melayu ada menyebut: kalau tak pergi yang lama, mana datang yang baru. Walaupun SJI kini dibarisi oleh ramai tenaga pengajar baru yang mungkin belum merasai budaya dan semangat Johannian di sini, maka mereka perlu diberikan lebih banyak masa untuk berbuat demikian.
Apa yang menjadikan SJI cukup istimewa berbanding dengan sekolah-sekolah lain termasuklah Victoria Institution adalah dari segi camaderie spirit yang wujud dalam diri para pelajar dan guru di sini. Kita semua berdiri di bawah satu bumbung yang mana kita saling bantu-membantu, bergerak seiring sekata dan mara sebagai sebuah keluarga besar.
Mampukah para pelajar dan guru-guru sekolah menggalas amanah ini? Kelangsungan dan masa depan SJI sebagai sebuah institusi pendidikan tersohor kini terletak di tangan mereka.
FIDE ET LABORE
-MARKUS LIM (CLASS OF UPPER SIX ARTS, 1999)
No comments:
Post a Comment