BROTHER LAWRENCE SPITZIG
DALAM KENANGAN...
BY NIZHAN FARAZ
DALAM KENANGAN...
BY NIZHAN FARAZ
Tanggal 18 Ogos menjelang lagi. Ramai mungkin tertanya, terutamanya generasi baru St. John, mengapa saya berbicara tentang tarikh ini? Pada tarikh ini, genap dua tahun yang lalu, sekolah kesayangan kita telah hilang sebutir permata yang sehingga hari ini tiada galang gantinya. Permata yang saya maksudkan - mendiang Rev. Bro. Datuk Tiburtius Lawrence Spitzig.
Soalan seterusnya, siapakah mendiang? Jika Johannian mengkaji sejarah sekolah kita, mendiang Bro. Lawrence merupakan satu-satunya Brother Director sekolah kita yang memegang jawatan itu untuk dua penggal, pertama kalinya pada 17 Mei 1955 sehingga akhir tahun 1961 dan kali kedua pada tahun 1979 hingga Februari 1983.
Mendiang berasal dari Toronto, Kanada dan telah menjejakkan kaki buat pertama kalinya di St. John pada tahun 1941 sebagai seorang guru. Apabila Perang Dunia Kedua meletus, beliau telah ditangkap oleh tentera Jepun dan ditahan di Penjara Changi, Singapura. Setelah perang tamat, beliau kembali menyambung tugas mengajar di St. John.
Pada 17 Mei 1955, Brother Director St. John pada masa itu, Rev. Bro. D'Joseph Brophy telah mengumumkan pertukaran beliau ke St. Xavier's Institution, Pulau Pinang dan Bro. Lawrence telah dilantik sebagai Brother Director yang baharu.
Tahukah Johannian semua, lirik lagu sekolah kita sebenarnya digubah oleh Bro. Lawrence? Juga bilik-bilik darjah di Heritage Block telah diubah suai menjadi saiznya sekarang pada tahun 1956 di bawah pentadbiran beliau? Tidak lupa juga tangga dan lantai konkrit di Heritage Block yang menggantikan tangga kayu merupakan hasil usaha beliau?
Sebenarnya, Bro. Lawrence telah banyak berjasa kepada sekolah kita. Kasih dan sayangnya kepada St. John tidak berbelah bahagi. Lantaran itu, beliau telah memutuskan untuk tinggal di Brothers' Quarters sekolah kita selepas bersara wajib pada Februari 1983.
Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk mengenali mendiang Bro. Lawrence, walaupun hanya lima tahun di akhir hayatnya. Hanya mereka yang mengenali beliau sahaja yang tahu betapa baiknya hati beliau. Bro. Lawrence adalah seorang peminat muzik. Ketika di sekolah, saya ada meluangkan masa dengan beliau, pada masa yang sama menggunakan piano di chapel dengan izin beliau. Saya adalah seorang penggemar lagu lama, tiap kali saya datang untuk bermain piano, beliau akan berada di sisi saya, menghayati irama yang dimainkan. Selepas itu, beliau akan menceritakan kisah yang mengaitkan lagu yang dimainkan dengan diri beliau.
Sayangnya, semua itu hanya tinggal sebagai kenangan yang indah dalam diri saya. 18 Ogos 2009 telah menjadi saksi pemergian Bro. Lawrence buat selama-lamanya. Johannian, jika anda berada di St. John pada masa itu, anda akan berasa terharu dengan pelawat yang berduyun-duyun datang untuk memberi penghormatan terakhir kepada beliau, upacara yang sayu dan penuh istiadat, ucapan-ucapan yang diberi tentang beliau - suasana itu tidak dapat saya gambarkan dengan kata-kata.
Hari ini, genap dua tahun pemergian Bro. Lawrence. Namun, ingatan saya terhadap beliau masih tidak pudar, dan saya berharap ia tidak akan pudar selama-lamanya. Soalan saya, adakah anda masih ingat kepada mendiang Bro. Lawrence?
No comments:
Post a Comment