Friday, November 29, 2013

Kolej Universiti St.John??



SMK St John rancang miliki kolej universiti sendiri




SMK St John rancang miliki kolej universiti sendiri

Sekolah Menengah Kebangsaan St. John (gambar) merancang untuk menubuhkan kolej universiti yang menumpukan kepada pendidikan vokasional dalam usahanya menyediakan peluang pendidikan lebih luas.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengelola sekolah Megat Mizan Nicholas Denney, kolej universiti itu bermatlamat memberi pilihan tambahan kepada pelajar untuk menyambung pengajian.

"Kami faham tidak semua pelajar cemerlang dalam bidang akademik tetapi jika diberi pendidikan seperti vokasional, pelajar ini mempunyai peluang untuk berjaya di masa depan dan tidak tercicir terus daripada pendidikan," katanya dalam majlis memaklumkan sambutan ulang tahun ke-110 SMK St. John di Kuala Lumpur hari ini.

Megat Mizan berkata sekolah itu percaya setiap pelajar harus diberi peluang untuk memilih apa yang mereka mahu lakukan dalam kehidupan mereka.

"Di St. John, mungkin tidak semua pelajar kita akan peroleh semua 'A', tetapi mereka diasuh menjadi insan budiman," katanya.

Mengenai sambutan itu, Megat Mizan berkata sekolah berkenaan yang lebih dikenali sebagai St. John Institution akan meraikan ulang tahun ke-110 pada tahun depan.Pelbagai aktiviti telah dirancang untuk sepanjang tahun bermula dengan jamuan hari jadi sekolah pada 25 Jan selain jamuan gala pada 17 Mei dan acara 'homecoming' pada 28 Jun, katanya.

Antara yang hadir dalam majlis hari ini ialah Presiden Persatuan Alumni St. John Datuk Zulkifli Ishak, Pengetua sekolah Lim Hean Hwa dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru St. John Wan Abdillah Wan Embong.

Ditubuhkan pada 1904, St. John merupakan antara sekolah tertua di Kuala Lumpur dan antara alumninya ialah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz. – Bernama, 29 November, 2013.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...